Saturday 14 June 2014

ADAB MANIFESTASI ILMU


Menurut Prof. Syed Naquib al-Attas, adab adalah “pengenalan serta pengakuan akan hak keadaan sesuatu dan kedudukan seseorang, dalam rencana susunan berperingkat martabat dan darjat, yang merupakan suatu hakikat yang berlaku dalam tabiat semesta.” ‘Pengenalan’ adalah ilmu; ‘pengakuan’ adalah amal. Maka, pengenalan tanpa pengakuan seperti ilmu tanpa amal; dan pengakuan tanpa pengenalan seperti amal tanpa ilmu. “Keduanya sia-sia kerana yang satu mensifatkan keingkaran dan keangkuhan, dan yang satu lagi mensifatkan ketiadasedaran dan kejahilan,” demikian penafsiran adab oleh Prof. Syed Naquib al-Attas.



Orang beradab adalah yang dapat memahami dan meletakkan sesuatu pada tempatnya, sesuai berpandukan syariat. Konsep adab seperti ini sesuai dengan istilah dan tujuan Pendidikan Islam itu sendiri, iaitu ta’dib dan tujuannya adalah membentuk manusia yang beradab (insan adaby). Prof. Naquib al-Attas dalam bukunya, Islam and Secularism, menggariskan tujuan pendidikan dalam Islam tesebut: 

“The purpose for seeking knowledge in Islam is to inculcate goodness or justice in man as man and individual self. The aim of education in Islam is therefore to produce a goodman… the fundamental element inherent in the Islamic concept of education is the inculcation of adab…”  [1]

Demikian pentingnya adab yang amat dititikberatkan oleh ilmuan nusantara ini. Adab adalah manifestasi seseorang yang berilmu. Semakin tinggi ilmu seseorang, semakin tinggilah nilai adab yang sepatutnya ada didalam dirinya. Pengajian mahupun pembacaan tidak dapat diukur dengan nilai material tetapi dapat dilihat melalui adab seseorang.

Mana mungkin seseorang yang mengaku banyak ilmunya sedangkan langsung tidak terzahir pada lahir adabnya. Adab itu luas mencakupi nilai pertuturan, perbuatan, kebersihan apatah lagi kerendahan hati. Kita mungkin tidak mampu menjadi sempurna pada kacamata manusia, tapi berusahalah sebaik mungkin menjadi manusia berilmu yang tinggi adabnya menurut neraca Allah.

Berapa ramai diantara kita hari ini yang berbangga-bangga dengan ilmu yang ada pada diri, pada bilangan buku yang dibaca, pada guru yang dipelajari, namun akhlaknya langsung tidak mencerminkan ilmunya, buku-buku yang dibacanya, jauh sekali jika dibandingkan dengan akhlak serta adab gurunya!

Ketahuilah ilmu itu bukan untuk dibangga-bangga, namun untuk manfaat bersama. Rasulullah bersabda; خير الناس أنفعهم للناس yang bermaksud, ‘Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.’ [2]
          


  Jika ilmu yang kita ada tidak mampu memberi manfaat kepada orang lain mahupun diri sendiri, maka apalah maknanya ilmu yang dimiliki. Malah disebabkan kesombongan si pemilik ilmu yang tidak mempamerkan akhlak dan adab yang baik, semakin dia tidak disenangi, malah menimbulkan fitnah pula pada ilmu & gurunya! Orang berilmu seharusnya bersifat tawadhu’ walaupun terhadap orang yang lebih muda darinya.

Diriwayatkan dari Musa bin Nushair, beliau berkata: “Aku mendengar Isa bin Hammad menasihati para pelajar ilmu hadits:
تعلموا الحلم قبل العلم
“Pelajarilah kelembutan hati dan kerendahan jiwa sebelum kalian belajar ilmu.”
            Begitu penting nilai adab ditekankan oleh ulama’ terdahulu. Adab orang berilmu dapat dilihat ketika dia dalam keadaan berselisih pandangan maupun pendapat dengan orang lain. Orang berilmu akan tetap menjaga adab walaupun dalam keadaan berselisih pandangan juga pendapat.
          
  Ilmu dan adab dapat diibaratkan seseorang yang mempunyai ilmu bahawa gula itu manis, namun jika dia tidak beradab dalam pengambilan gula tersebut, maka ilmunya tidaklah bermanfaat baginya, kelak dia tetap akan diserang kencing manis juga.
         
   Semoga kita semua menjadi insan yang sentiasa mempertingkatkan nilai adab dalam diri seiring dengan meningkatnya ilmu yang diperolehi untuk membentuk diri menjadi insan adaby. Jika para ulama yang hebat ilmunya pun masih menjaga adab dan kerendahan hati dengan tidak sewenangnya berhukum dengan apa yang tidak mereka ketahui, mengapa kita yang amat sedikit ilmunya ini tidak mampu merendahkan diri? Rasulullah s.a.w adalah uswah hasanah yang harus dijadikan pedoman dalam melayari bahtera kehidupan ini. Dengan ketinggian darjat Baginda disisi Allah, Baginda amat tawadhu’ dan jauh dari bangga diri. 




[1] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam and Secularism, (Kuala Lumpur: ISTAC, 2003), hal. 150-151.

[2] HR. Ahmad, Thabrani, Daruqutni. Dishahihkan Al Albani dalam As-Silsilah As-Shahihah

-published in Majalah Survival  8th edition-

No comments:

Post a Comment