Menurut Prof. Syed Naquib al-Attas, adab adalah “pengenalan serta
pengakuan akan hak keadaan sesuatu dan kedudukan seseorang, dalam rencana
susunan berperingkat martabat dan darjat, yang merupakan suatu hakikat yang
berlaku dalam tabiat semesta.” ‘Pengenalan’ adalah ilmu; ‘pengakuan’ adalah amal. Maka, pengenalan tanpa pengakuan seperti ilmu tanpa amal;
dan pengakuan tanpa pengenalan seperti amal tanpa ilmu. “Keduanya sia-sia
kerana yang satu mensifatkan keingkaran dan keangkuhan, dan yang satu lagi
mensifatkan ketiadasedaran dan kejahilan,” demikian penafsiran adab oleh Prof.
Syed Naquib al-Attas.
Orang beradab adalah yang dapat memahami dan
meletakkan sesuatu pada tempatnya, sesuai berpandukan syariat. Konsep
adab seperti ini sesuai dengan istilah dan tujuan Pendidikan Islam itu sendiri,
iaitu ta’dib dan tujuannya adalah membentuk manusia yang
beradab (insan adaby). Prof. Naquib al-Attas dalam
bukunya, Islam and Secularism, menggariskan tujuan pendidikan
dalam Islam tesebut:
“The purpose for seeking
knowledge in Islam is to inculcate goodness or justice in man as man and
individual self. The aim of education in Islam is therefore to produce a
goodman… the fundamental element inherent in the Islamic concept of education
is the inculcation of adab…” [1]
Demikian pentingnya adab yang amat dititikberatkan oleh ilmuan
nusantara ini. Adab adalah manifestasi seseorang yang berilmu. Semakin tinggi
ilmu seseorang, semakin tinggilah nilai adab yang sepatutnya ada didalam
dirinya. Pengajian mahupun pembacaan tidak dapat diukur dengan nilai material
tetapi dapat dilihat melalui adab seseorang.
Mana mungkin seseorang yang mengaku banyak ilmunya sedangkan
langsung tidak terzahir pada lahir adabnya. Adab itu luas mencakupi nilai
pertuturan, perbuatan, kebersihan apatah lagi kerendahan hati. Kita mungkin
tidak mampu menjadi sempurna pada kacamata manusia, tapi berusahalah sebaik
mungkin menjadi manusia berilmu yang tinggi adabnya menurut neraca Allah.
Berapa ramai diantara kita hari ini yang berbangga-bangga dengan
ilmu yang ada pada diri, pada bilangan buku yang dibaca, pada guru yang
dipelajari, namun akhlaknya langsung tidak mencerminkan ilmunya, buku-buku yang
dibacanya, jauh sekali jika dibandingkan dengan akhlak serta adab gurunya!
Ketahuilah ilmu itu bukan untuk dibangga-bangga, namun untuk
manfaat bersama. Rasulullah bersabda; خير الناس أنفعهم للناس yang
bermaksud, ‘Sebaik-baik manusia adalah yang
paling bermanfaat bagi orang lain.’ [2]
Jika ilmu yang
kita ada tidak mampu memberi manfaat kepada orang lain mahupun diri sendiri,
maka apalah maknanya ilmu yang dimiliki. Malah disebabkan kesombongan si
pemilik ilmu yang tidak mempamerkan akhlak dan adab yang baik, semakin dia
tidak disenangi, malah menimbulkan fitnah pula pada ilmu & gurunya! Orang
berilmu seharusnya bersifat tawadhu’ walaupun terhadap orang yang lebih muda
darinya.
Diriwayatkan dari Musa bin
Nushair, beliau berkata: “Aku mendengar Isa bin Hammad menasihati para
pelajar ilmu hadits:
تعلموا الحلم قبل العلم
“Pelajarilah kelembutan hati
dan kerendahan jiwa sebelum kalian belajar ilmu.”
Begitu penting
nilai adab ditekankan oleh ulama’ terdahulu. Adab orang berilmu dapat dilihat
ketika dia dalam keadaan berselisih pandangan maupun pendapat dengan orang
lain. Orang berilmu akan tetap menjaga adab walaupun dalam keadaan berselisih
pandangan juga pendapat.
Ilmu dan adab
dapat diibaratkan seseorang yang mempunyai ilmu bahawa gula itu manis, namun
jika dia tidak beradab dalam pengambilan gula tersebut, maka ilmunya tidaklah
bermanfaat baginya, kelak dia tetap akan diserang kencing manis juga.
Semoga kita semua
menjadi insan yang sentiasa mempertingkatkan nilai adab dalam diri seiring dengan
meningkatnya ilmu yang diperolehi untuk membentuk diri menjadi insan
adaby. Jika para ulama yang hebat ilmunya pun masih menjaga adab dan
kerendahan hati dengan tidak sewenangnya berhukum dengan apa yang tidak mereka
ketahui, mengapa kita yang amat sedikit ilmunya ini tidak mampu merendahkan
diri? Rasulullah s.a.w adalah uswah hasanah yang harus dijadikan pedoman dalam
melayari bahtera kehidupan ini. Dengan ketinggian darjat Baginda disisi Allah,
Baginda amat tawadhu’ dan jauh dari bangga diri.